Najib Harapan Saya, Tetapi Dia Mungkir Janji - Dr Mahathir


PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamed mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak memungkiri janji untuk membina jambatan bengkok antara Johor Baharu dan Singapura.

Menerusi temuramah sebanyak empat bahagian yang dimuat naik di blog, Din Turtle, dua hari selepas temuramah Najib di televisyen, Dr Mahathir mendakwa perdana menteri itu menyokong projek berkenaan ketika beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Harapan saya, bila Pak Lah dah tak ada (letak jawatan), dia (Najib) akan buatlah jambatan itu. Najib pada satu masa sebut 'walaupun Singapura setuju atau tidak setuju pun, kami nak buat'. Tetapi bila dia jadi perdana menteri, dia tak buat," kata bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak gembira apabila Najib memungkiri janjinya.

"Jika Singapura tak nak buat (tak setuju), saya buat sebelah saya, apa salahnya. Bukan pasal nak buat jambatan bengkok, tetapi pasal nak buat sebelah tak jadi. Ia adalah hak berdaulat kita, dalam kawasan wilayah kita, kawasan perairan. Separuh daripada tambak itu adalah milik kita. Saya tidak sentuh langsung bahagian Singapura.

"Dia (Najib) ada minta persetujuan dengan Singapura, nak buat benda di dalam negara kita. Di mana kedaulatan kita? Di mana kemerdekaan kita? Adakah kita sebahagian daripada Singapura?" soal Dr Mahathir.

Dalam satu temuramah khas bersama TV3 pada Khamis lalu, Najib berkata, serangan Dr Mahathir terhadap beliau tercetus disebabkan kemungkinan perbezaan pendapat mengenai jambatan bengkok dan pelaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Mengenai BR1M, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan idea BR1M kerana memberikan wang percuma kepada rakyat.

"Kita tak pernah beri duit kepada orang. Kita beri peluang pekerjaan untuk rakyat, beri mereka pendidikan, latih mereka maka mereka boleh hidup dan buat duit untuk diri mereka sendiri. Kalau kebajikan, kita perlu beri tetapi hanya kepada rakyat yang memerlukan bantuan kebajikan," katanya. 
Share on Google Plus
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment